Wednesday, August 31, 2011

Penghayatan Asas Seni Reka

Bahagian 11: Penghayatan Asas Seni Reka - sambungan Warna
oleh Hassan Mohd Ghazali pada pada 11hb Ogos 2011 pukul 11.56 ptg
ESTETIK WARNA
Dalam penulisan saya Bahagian 9 dan 10, saya telah mengupas sejarah warna, Sifat Fizikal warna dan Campuran warna. Kali ini saya berkongsi maklumat akdemik berkaitan Estetik warna dan sedikit komposisi warna. Aspek warna adalah sangat penting bagi kita yang terlibat dengan Seni Visual, lebih-lebih lagi kepada seorang pelukis atau pereka.

Kajian tentang warna ada hubungan dengan mendengar muzik. Alunan muzik adalah gabungan antara composer, pemuzik dan penyanyi yang memberi kesan keharmonian dan sedap didengar. Oleh yang demikian, warna juga tidak bersendirian dalam mengadunkan sebuah gubahan. Pelukis akan menggunakan warna agar kesan sebuah karya seni visual akan kelihatan menarik dan bermakna. Warna juga dapat mengungkapkan persoalan isi dan makna, justru ianya memberi kasan pada perasaan kepada yang menonton. Sebenarnya tidak ada peraturan yang paling tepat untuk menentukan sesuatu kajian warna itu betul atau salah, namun dengan beberapa kajian eksperimen dibuat oleh tokoh-tokoh seni visual, kajian warna dapat memberi respon yang positf bagi menerokai kesan estetik pada sesebuah karya seni visual.

Kejayaan penggunaan warna bergantung pada pemahaman dari beberapa asas dalam hubungan dengan warna. Sesuatu warna dengan sendirinya memiliki karakter tertentu, misalnya menciptakan suatu suasana, atau untuk memunculkan respons emosi. Namun, suasana boleh berubah ketika warna terlihat dengan warna yang lain dalam hubungan yang harmoni. Sama seperti muzik yang boleh berubah-ubah dengan gabungan nada untuk membentuk harmoni yang berbeza, demikian juga pelukis boleh mencipta hubungan antara perbeza harmoni atau kontras dalam hubungan penggunaan warna.


1. Warna Penggenap

Warna penggenap adalah terhasil apabila dua warna yang berhadapan atau bertentangan dalam roda warna ). Penggunaan warna penggenap adalah biasa dihasilkan untuk menunjukkan penegasan atau kontra. Namun ada pelukis dan pereka (designer) menggunakan warna penggenap sebagai gerak balas emosi.Misalnya Lukisan catan Mary Cassatt bertajuk In the Loge dengan menggunakan bahan pastel (lihat rajah) telah menganjurkan seluruh berbeza warna yang kontra antara merah dan hijau. Penegasan warna merah dapat digambarkan melalui beberapa garisan merah menegak dan melintang figura. Penggenap yang menjadi kontra yang nyata ialah warna kipas diwarnakan dengan warna hijau. Pelukis Mary Cassatt sangat berkeyakinan menggunakan warna penggenap hingga pakaian dan rambut figura yang diwarnakan dengan hijau dan merah. Kesan emosi terpar dalam karya ini disamping memberi kesan estetik yang cukup berkesan.
Warna Penggenap - adalah warna yang bertentangan
Mary Cassatt - In the loge


2. Skima Warna Pengenap terpisah

Warna penggenap terpisah adalah pecahan dari roda warna yang menggunakan dua warna bersebelahan dengan satu warna bertentangan. (rajah) Dalam erti kata lain, pelukis akan memilih dua warna yang bersebelahan dan mengenal pasti satu warna sebagai pelengkap dalam roda warna. Sebagai contoh,pelukis memilih warna Kuning dan warna Ungu adalah sebagai penggenap. Tetapi bukan menggunakan ungu sahaja sebaliknya pelukis itu memilih untuk menggunakan warna yang terletak bersebelahan dengan ungu pada roda warna. Oleh itu, warna Kuning mungkin seimbang oleh biru-ungu dan merah-ungu, dan kuning mungkin seimbang dengan merah-ungu dan biru-ungu (bukan ungu). Sebagai cotoh pelukis menunjukkan sebuah kaarya yang dihasilkan oleh Vincent Van Gogh bertajuk ‘Terrace of the Cafe at the Place du Forum in the Evening’, (1888) menggunakan bahan cat minyak atas kanvas. (Rajah), kesan skema pecahan warna pelengkap. Van Gogh menggabungkan biru dengan pelengkapnya ialah warna merah-jingga dan warna kuning-jingga. Pewarnaan agak dramatik, tetapi agak sedap di mata melihat karya ini. Sekali kita melihat karya ini kesan warna panas menonjol berbanding warna sejuk iaitu warna biru.

warna penggenap terpisah
Van Gogh- cafe

3. Skema Warna Triadik

Sistem warna triadik ialah rangkaian tiga warna asas (utama) dan tiga serangkai warna kedua berdasarkan roda warna. Triadik yang utama adalah dari tiga warna asas di mana warna kuning adalah paling atas, kerana warna kuning intensiti paling kuat. (lihat rajah), mana kala segi tiga kedua adalah warna sekunder. Tujuan utama organisasi skema triadik adalah untuk memperlihatkan tiga segi yang berbeza dari segi kekuatan cahaya dan intensiti. Triadik pertama adalah warna-warna kuning, biru dan merah yang mempunyai kekuatan kontras sementara triadik kedua adalah warna hijau, jingga dan ungu yang memiliki warna yang lembut. Kesan ini mungkin berlaku kerana antara dua warna dari bahagian triadik warna umum: Orange dan hijau keduanya mengandungi kuning, jingga dan ungu keduanya mengandungi merah, dan hijau dan ungu keduanya mengandungi biru. Maka skima warna menengah (intermediate) dapat di atur dalam dua triadik menengah (intermediate) (lihat gambar). Di sini, juga, kerana kita bergerak lebih jauh dari kemurnian warna asas, warna kontras antara kedua-dua triadik yang lebih lembut.

4. Skema Warna Tetrad

Hubungan antara warna berdasarkan pada segi empat sama. Ia dikenali sebagai sistem warna Tetrad. Sistem ini terbentuk apabila empat warna yang digunakan dalam organisasi. Untuk mendapat sistem ini ruang sekitar roda warna dan mengandungi warna utama (asas), warna kedua (sekunder) dan warna ketiga (tertiar) digunakan untuk mencari empat warna yang tergolong sebagai warna tetrad (lihat rajah), Empat segi yang digunakan untuk memilih warna tetrad boleh dipusaingkan agar pemilihan warna menjadi kenyataan. Kesan yang menarik ialah terdapatnya warna-warna penggenap dan harmoni apabila menggunakan sistem ini.
Skema Warna Tetrad

5. Skema Warna Analogis

Warna analogis (Analogous) wujud apabila warna-warna tersebut berdekatan atau ‘jiran’ dalam skema roda warna. Pemilihan warna berdekatan itu akan menghasilkan kesan warna harmoni (lihat rajah). kesan yang ketara pada warna analogis ialah warna-warna ini masih mengekalkan ciri-ciri yang sama intensiti. Warna analogis tidak hanya dikelompokkan dalam kumpulan intensiti warna spektrum namun terdapat juga melalui warna-warna natural dalam nilai warna yang sama. Oleh yang demikian ada kalanya warna ini juga disebut sebagai warna monokrom apabila warna yang digunakan mempunyai ikatan yang sama namun ‘tint’nya sahaja berbeza.
* Analogis adalah diambil dari istilah DBP

Warna analogis
6. Warna Monokrom

Skima warna monokrom disebut juga sebagai 'warna sewarna' terdapat juga buku yang menyatakan ‘monokromatik’ yang melibatkan penggunaan hanya satu warna. Warna ini juga boleh dikategorikan sebagai warna harmoni. Warna boleh berubah dari segi nilai warna melalui tambahan warna hitam atau putih. Pelukis Mark Tansey sangat gemar menggunakan warna monokrom dalam karya-karyanya salah satu karyanya ialah Triump over Mastery II (1987). Menggunakan bahan cat minyak atas kanvas. Penggunaan monokrom memberi kesan pada mood karya. Tansey juga menggunakan monokrom sebagai satu cara untuk menekankan perbezaan tekstur lebih perbezaan dari segi nilai warna yang digunakan.
Triump over Mastery II

7. Warna Hangat dan Warna Sejuk

Suhu warna boleh dianggap sebagai satu cara lain untuk menetapkan skema warna. Berdasarkan roda warna, semua warna-warna tersebut dapat digolongkan ke dalam salah satu daripada dua kumpulan: warna panas dan warna sejuk. Warna Merah, Jingga, 8dan Kuning adalah berkaitan dengan matahari atau api dan dengan demikian dianggap sebagai ‘panas’. Sementara itu warna-warna seperti biru, hijau, ungu, dan biru-hijau, yang berkaitan dengan hawa, langit, bumi, dan air; adalah disebut warna sejuk.


ASPEK KOMPOSISI WARNA DALAM KARYA SENI
Warna juga mempunyai komposisi tertentu sebagai peranan dalam berkarya. Dalam perkembangan dunia seni lukis barat, pelukis menggunakan warna sebagai menimbulkan objek yang dilukis. Dalam catan relisma warna digunakan sebagai memperkenalkan objek yang dilukis agar menepati bentuk asal, misalnya melukis buah-buahan, warna-waran di campur agar menimbulkan rupa objek sebenar. Warna juga digunakan sebagai alat representasi pelukis dalam menterjemahkan makna. Oleh yang demikian, warna mempunyai peranan sebagai menentukan komposisi artistik dalam sesebuah karya. Antara lain tujuan warna ialah:
1. Memberi kualiti ruang dalam satah gambar dalam karya seni.
2. Menghasilkan kesan suasana dan idea yang tersirat.
3. Memberi kesan ekspresi dari perasaan dan emosi diri pelukis.
4. Untuk menarik perhatian secara langsung terhadap penumpuan objek dari segi komposisi dan organisasi pengkaryaan.
5. Bagi menimbulkan kesan nilai estetik melalui penggunaan antara warna.
6. Memberi kesan penampilan objek yang dilukis.
* Penulisan ini adalah petikan buku Seni Visual yang akan diterbitkan oleh Penulis.

No comments:

Post a Comment